catatan hati seorang perantau hakiki

ASSALAMUALAIKUM


Maaf kerana lambat untuk tulis ulasan tentang filem Deadpool 2 yang telah mula ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh Malaysia bermula 15 haribulan lepas. 

Berbeza dengan Deadpool yang pertama, filem Deadpool 2 ini telah diarahkan oleh seorang pengarah terkenal iaitu David Leitch. Aku tak mengatakan yang pengarah Deadpool yang pertama iaitu Tim Miller tidak terkenal, tetapi aku ingin mengatakan yang banyak filem-filem yang diarahkan oleh David Leitch telah mendapat ulasan-ulasan yang baik seperti filem John Wick. 


**********

Plot movie ini bermula dengan kematian Vanessa iaitu tunang kepada Wade Wilson ataupun lebih dikenali sebagai Deadpool. Vanessa telah mati ditembak oleh seorang gangster pada malam ulangtahun pertunangan mereka. Walaupun Deadpool berjaya membunuh gangster tersebut, dia masih menyalahkan dirinya sendiri di atas kematian tunangnya itu. Deadpool membuat keputusan untuk membunuh diri dengan meletupkan dirinya sendiri. Di alam barzakh, dia telah berjumpa dengan Vanessa tetapi Deadpool tidak dapat mendekati tunangnya itu kerana tunangnya itu mengatakan bahawa hatinya tidak bersih.

Walaupun badan Deadpool telah berkecai, tisu-tisu badannya masih hidup dan telah dicantum semula oleh Peter Rasputin atau juga lebih dikenali sebagai Colossus. Setelah sembuh, Deadpool bersetuju untuk menyertai X-Men. Misi pertamanya adalah untuk mententeramkan seorang mutan muda yang sedang memberontak di hadapan sebuah rumah anak-anak yatim yang bernama Mutant Reeducation Center. Mutan muda yang bernama Russel Collins itu mempunyai kebolehan untuk mengeluarkan api di tangannya. 

Setelah mendekati Russel Collins, Deadpool mendapat tahu yang mutan muda itu memberontak kerana sering dibuli oleh pekerja-pekerja rumah anak-anak yatim tersebut dan Deadpool telah mengambil tindakan dengan membunuh salah seorang pekerja-perkeja tersebut. Colossus terpaksa masuk campur untuk mengelakkan Deadpool daripada membunuh orang lain, dan kedua-dua Wilson dan Collins telah ditangkap. Mereka kemudiaanya diikat dengan kolar yang menghentikan kuasa mereka dan mereka telah dibawa ke "Icebox" iaitu sebuah penjara terpencil untuk penjenayah mutan.

Tidak lama kemudian, penjara tersebut telah diserang oleh Cable iaitu seorang cyborg mutan dari masa hadapan. Misi Cable adalah untuk membunuh Russel Collins.

**********

Mengapa Cable mahu membunuh Russell Collins? Untuk mengetahui jawapannya, anda perlu menonton filem ini sendiri.

**********

Filem Deadpool 2 ini menerima ulasan yang pelbagai. Ada yang mengatakan Deadpool yang pertama lebih baik berbanding Deadpool 2 dan ada yang mengatakan sebaliknya. Tetapi bagi pendapat aku, aku lebih suka Deadpool 2 berbanding Deadpool yang pertama. Sebab utamanya ialah Deadpool 2 kurang menggunakan bahasa-bahasa kasar dan tidak sopan berbanding Deadpool yang sebelum ini. Dan sebab kedua ialah Deadpool 2 lebih kelakar berbanding yang sebelum ini. 


**********






Keywords:

1. Deadpool 2 review
2. Ulasan Deadpool 2
3. Jom tonton Deadpool 2

2 ulasan: