ASSALAMUALAIKUM
Minggu lepas aku berkesempatan untuk menonton dua buah filem melayu iaitu Hantu Kak Limah dan Pulang. Oleh kerana filem Hantu Kak Limah sangat mengecewakan (ye aku tahu, pendapat aku tak sama dengan majoriti rakyat Malaysia.. kalau tak, masakan filem Hantu Kak Limah tu mampu mendapat kutipan lebih RM 13 juta dalam masa hanya seminggu), jadi aku tak akan sentuh tentang filem tersebut dalam post kali ini. Cukuplah sekadar aku katakan yang banyak lawak dalam filem tersebut tidak menjadi dan 1 jam awal filem tersebut sangat membosankan.
Ok, kita letak tepi filem Hantu Kak Limah tu dan jom kita fokus pada filem Pulang.
Filem yang menelan kos lebih RM 6 juta ini telah diadaptasi dari sebuah novel dan ia sebenarnya merupakan satu kisah benar. Walau bagaimanapun, filem ini telah ditokok tambah sedikit oleh pengarah Khabir Bakhtiar bagi menjadikan filem ini lebih menarik.
**********
SINOPSIS:
Othman yang merupakan seorang nelayan di Kampung Serkam, telah mengambil keputusan untuk menjadi kelasi kapal bagi mengubah nasib keluarganya. Walaupun berjauhan, Othman tidak lupa untuk menghantar poskan dari setiap persinggahan kapalnya kepada keluarganya di kampung. Namun, setelah beberapa tahun, Othman mendiamkan diri, tiada khabar berita yang disampaikan kepada keluarnya di kampung. Isterinya yang masih setia menunggu kepulangan Othman telah memberi amanah kepada cucunya, Ahmad untuk menjejaki suaminya Othman sebelum dia menghebuskan nafasnya yang terakhir. Bagi memenuhi permintaan terakhir neneknya itu, Ahmad telah ke Liverpool bagi menjejaki datuknya.
**********
ULASAN
Dengan pelaburan sebanyak RM 2 juta dalam menghasilkan kesan-kesan CGI, filem Pulang ini ternyata berada di kelasnya yang tersendiri. Adegan-adegan di luar negara seperti di Hong Kong dan Liverpool, dan juga adegan di dalam kapal tampak bergitu kemas dan 'hidup', seolah-olah penggambarannya betul-betul berlaku di lokasi-lokasi tersebut, sedangkan sebenarnya ia hanyalah berlaku di dalam studio. Terima kasih kepada kesan-kesan CGI. Namun bergitu, beberapa adegan masih nampak cacat dan 'kartun' seperti adegan kapal terbakar di Hong Kong. Selain daripada kehebatan teknik-tenik CGI yang digunakan, kekuatan filem ini pada sinematografinya juga harus diberi pujian.
Penggunaan set dan props juga amat cemerlang dan berkesan dalam menjadikan adegan-adegan dalam filem Pulang ini kelihatan 'real' dan dalam membantu para penonton untuk menghayati cerita ini dengan lebih mendalam. Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa kesilapan dalam penggunaan prop yang mungkin tak sengaja terlepas pandang seperti penggunaan langsir di rumah keluarga Othman. Langsir yang digunakan kelihatan baru dan mahal, tidak sesuai dengan suasana kehidupan keluarga Othman yang susah.
Dari segi lakonan yang dipersembahkan oleh para pelakon pula, secara peribadi sebagai seorang penonton, aku merasakan masih banyak yang perlu diperbaiki terutamanya oleh watak isteri Othman, Che Thom. Para pelakon juga kelihatan kaku dalam menggunakan bahasa-bahasa melayu klasik, ditambah pula dengan penggunaan bahasa yang bercampur baur diantara bahasa melayu klasik dan bahasa melayu modern.
**********
Seperti yang aku nyatakan tadi, filem ini telah diadaptasi dari satu kisah benar. Namun, ada beberapa bahagian yang telah diubah atau ditokok tambah, seperti:
1. Di dalam kisah sebenar, cucu Othman tidak menjejaki datuknya.
2. Di dalam kisah sebenar, Othman hanya mula menghantar poskan ke keluarganya setelah hampir sedekad berlayar. Anak lelaki Othman, Omar menerima poskad pertama ayahnya ketika dia sedang bersekolah di Sekolah Tunku Abdul Rahman.
3. Di dalam kisah sebenar, Otham tidak pulang ke pangkuan keluarganya kerana tidak ingin menyusahkan isterinya, Che Thom.
**********
Tiada ulasan:
Catat Ulasan