Alhamdulillah, impian aku untuk menjejakkan kaki ke New
Zealand akhirnya telah menjadi kenyataan. Percutian selama 10 hari 8 malam di
negara yang didominasi oleh gunung-ganang itu ternyata satu pengalaman yang
cukup indah bagi aku. Dari pantai yang terpencil ke tasik yang membiru, dan
dari landskap yang menghijau ke gunung yang diselaputi salju, New Zealand
sesungguhnya sebuah negara yang sangat mempersonakan. Jadi tidak peliklah
kenapa The Land of Kiwis ini menjadi destinasi impian bagi setiap pengembara.
Hari 1 dan 2: Kuala
Lumpur > Auckland
Aku bertolak ke Auckland dari Kuala Lumpur pada 2 Disember
2018 melalui Bali dengan menaiki AirAsia X. Walaupun ada penerbangan terus ke
Auckland dari Kuala Lumpur, aku memilih untuk melalui Bali kerana harga
tiketnya lebih murah. Sedikit memenatkan tetapi aku berjaya berjimat sebanyak
RM500. Dua lagi rakanku memilih untuk terbang terus dari Kuala Lumpur ke sana.
Aku tiba di Lapangan Terbang Auckland pada petang 3 Disember
2018. Oleh kerana New Zealand mempunyai sistem biosekuriti yang sangat ketat,
kami mengambil masa kira-kira hampir 1 jam untuk melepasi kastam di sana.
Alhamdulillah kesemua makanan yang kami bawa dibenarkan untuk dibawa masuk. (Baca: Tips Melancong ke New Zealand). Setelah berjaya melepasi
kastam, kami ke tempat letak kereta untuk mengambil kereta sewa.
Hari 3: Auckland >
Waitomo > Lake Taupo > Hamilton
Seawal jam 8 pagi, kami bertolak ke Waitomo melalui Te
Awamutu dan Otorohanga. Di sepanjang perjalanan kami disajikan dengan
pemandangan landskap yang subur menghijau. Betullah apa yang dikata, kambing
biri-biri lebih ramai berbanding manusia di sana!!
Setibanya di Waitomo, kami mengikuti Waitomo Glowworm Cave
Tour (Harga: NZD53) untuk menyaksikan sendiri keunikan ciptaan Tuhan iaitu
Glowworm yang menerangi dan menghiasi dinding-dinding gua. Glowworm ini bukanlah sejenis cacing, tetapi sebaliknya sejenis larva
serangga yang menghasilkan cahaya biru.
Dari Waitomo, kami bertolak ke tasik terbesar di New Zealand
iaitu Lake Taupo. Di tepi tasik, ada disediakan beberapa meja kayu untuk kegunaan orang awam. (Di belakang balai bomba berdekatan juga terdapat kemudahan tandas awam.) Jadi, kami mengambil kesempatan untuk makan tengahari di sana sebelum bergerak ke Huka
Falls yang terletak kira-kira 15 minit dari Lake Taupo.
Dengan air birunya yang mengalir melalui kanyon sempit pada kadar 200 000 liter setiap saat, Huka Fulls menyajikan satu pemandangan yang sangat menakjubkan dan seterusnya menjadikan ia salah satu tarikan semula jadi yang paling banyak dilawati di New Zealand. Kami menghabiskan masa di sana hampir 1 jam sebelum bergerak ke Hamilton. Sebelum sampai ke Hamilton, kami singgah sebentar di Lake Karapiro. Kami memilih untuk bermalam di Hamilton kerana kami perlu sampai ke Lapangan Terbang Auckland sebelum tengahari.
Dengan air birunya yang mengalir melalui kanyon sempit pada kadar 200 000 liter setiap saat, Huka Fulls menyajikan satu pemandangan yang sangat menakjubkan dan seterusnya menjadikan ia salah satu tarikan semula jadi yang paling banyak dilawati di New Zealand. Kami menghabiskan masa di sana hampir 1 jam sebelum bergerak ke Hamilton. Sebelum sampai ke Hamilton, kami singgah sebentar di Lake Karapiro. Kami memilih untuk bermalam di Hamilton kerana kami perlu sampai ke Lapangan Terbang Auckland sebelum tengahari.
Hari 4: Hamilton >
Auckland > Christchurch
Dari Hamilton kami bertolak ke Lapangan Terbang Auckland
untuk menaiki pesawat ke Christchurch. Setelah mengambil kereta sewa, kami menuju
ke Christchurch Botanic Gardens. Pada mulanya kami bercadang untuk menelusuri
Sungai Avon dengan menaiki sampan kayu (Punting on the Avon River), tetapi dek
kerana hujan lebat, kami terpaksa membatalkan rancangan kami itu. Untuk
berlindung dari hujan, kami masuk ke dalam Canterbury Museum. Walaupun masanya agak
terhad kerana waktu operasi muzium sudah hampir tamat, sedikit sebanyak kami
dapat meneroka dan belajar mengenai warisan kebudayaan dan asli yang kaya di
New Zealand. Dan yang paling penting, tiket masuknya adalah percuma! =P
Setelah hujan reda, kami bersiar-siar di Christchurch
Botanic Garden yang kini sudahpun berusia melebihi 150 tahun. Dengan pelbagai tumbuhan yang cantik dan
dihiasi pula dengan Avon River yang mengalir melaluinya, sememangnya taman ini
satu tempat yang sangat menarik untuk berehat seketika.
Kemudian, kami bertolak ke New Brighton Pier. Dermaga yang
panjangnya menjangkau 300 meter ini merupakan dermaga terpanjang di Australasia
dan merupakan salah satu ikon Christchurch.
Hari 5: Christchurch
> Lake Tekapo > Lake Pukaki > Oamaru
Dari Christchurch kami bertolak ke Lake Tekapo. Subhanallah,
tasiknya sungguh cantik!! Airnya berwarna biru susu dan jernih seperti
kristal!! Di tepi tasik pula terdapat terdapat sebuah gereja yang dibina pada
tahun 1935 bernama Church of the Good Shepherd. Di sana sahaja kami
menghabiskan masa kira-kira 1 jam setengah untuk bergambar dan menikmati
keindahaan ciptaan Tuhan itu.
Dari sana kami menuju pula ke Lake Pukaki yang pernah
menjadi lokasi penggambaran The Lord of the Rings dan juga The Hobbit
Trilogies. Dan subhanallah, Lake Pukaki ni dua kali ganda lagi cantik dari Lake
Tekapo!! Ianya seolah-olah seperti sebutir permata biru berkilauan yang dikelilingi
banjaran alpine. Subhanallah, sangat cantik! Kalau Lake Tekapo senang untuk ke
pesisiran tasik kerana tebingnya landai, Lake Pukaki agak susah sedikit kerana
tebingnya agak curam.
Setelah puas bergambar, kami bertolak ke Oamaru. Di
pertengahan jalan, kami singgah makan di High Country Salmon yang menyajikan
juadah ikan salmon yang segar.
Tempat pertama yang kami singgah di Oamaru ialah Oamaru
Victorian Heritage Precinct. Namun kami tidak banyak menghabiskan masa di sini,
sebaliknya kami pergi ke taman permainan yang berdekatan iaitu Friendly Bay Playground.
Kami bukan setakat bersiar-siar di taman ini, tetapi kami juga mengambil
peluang untuk mencuba semua permainan yang disediakan secara percuma seperti
rings, overhead climbing ladder, dan parallel bars.
Setelah puas menjadi ‘kanak-kanak’, kami bergerak ke Oamaru
Lookout Point. Dari atas sana, kami boleh melihat dengan jelas pemandangan
bandar Oamaru yang dikelilingi lautan luas di belah timurnya dan dibarisi
puncak-puncah Alps Selatan di belah barat.
Kemudian, kami bergerak ke destinasi terakhir kami di Oamaru
iaitu Bushy Beach Scenic Reserve. Di sana disediakan dek peninjau untuk para
pelancong menyaksikan habitat semula jadi penguin bermata kuning. Sekiranya
bernasib baik, para pelancong akan dapat melihat peguin menyeberangi pantai
untuk pulang ke ‘rumah’.
Hari 6: Oamaru >
Moeraki Boulders > Katiki Point Lighthouse > Dunedin > Nugget Point
Lighthosue > Te Anau
Hari ke-5 adalah hari yang paling memenatkan. Dari Oamaru,
kami bergerak ke Moeraki Boulders. Sebagaimana namanya, di sana terdapat beberapa
biji batu sfera besar yang terdampar di sepanjang Pantai Koekohe. Batu-batu ini
sebenarnya adalah tembok konkrit yang telah terdedah melalui hakisan pantai dari
tebing pantai. Jadi, kalian boleh nampak beberapa biji batu yang sedikit
terdedah dan terkeluar dari tebing pantai yang telah terhakis.
Dari sana, kami menuju ke Katiki Point Lighthouse. Tidak
banyak masa yang dihabiskan di sana sebelum kami bergerak ke Dunedin iaitu
bandar ke-dua terbesar di pulau selatan New Zealand. Oleh kerana kepenatan,
kami singgah di salah satu kedai kopi yang terkenal di sana iaitu Insomnia.
Setelah menyegarkan badan, kami ke Signal Hill Lookout untuk berehat sambil
makan tengahari. Pada ketinggian 393 meter itu, kami dapat melihat bandar
Dunedin tanpa sebarang halangan dan di sana juga tidak ramai pengunjung.
Setelah perut kenyang, kami bergerak ke Nugget Point
Lighthouse, sebuah rumah api yang paling terkenal di New Zealand dan juga
merupakan yang paling tua. Dikatakan pantai di sekeliling rumah api tersebut
adalah habitat kepada beberapa penguin yang jarang ditemui dan satu-satunya
tempat yang boleh anda melihat anjing laut dan singa laut di satu kawasan yang
sama. Mungkin kami tidak bernasib baik atau kerana kami tidak menggunakan
teropong, kami lansung tidak nampak anjing laut mahupun singa laut. Yang nampak
hanyalah laut. =P
Kemudian kami bergerak ke Te Anau untuk bermalam di sana.
Hari 7: Te Anau > Milford Sound > Lake Wanaka
Seawal 6 pagi kami sudah bergerak ke Milford Sound kerana
kapal kami akan berlepas pada pukul 8:55 pagi. Kami membeli tiket yang paling
awal kerana tiket yang paling awal adalah yang paling murah. Dan seperti
Waitomo Glowworm Tours, kami membeli tiket dari backpackerdeals (https://www.backpackerdeals.com/new-zealand/queenstown/milford-sound-cruise)
kerana harga yang ditawarkan lebih murah. Di sepanjang perjalanan ke Milford
Sound, kami banyak berhenti untuk bergambar kerana permandangan di sana
tersangatlah cantik! Kerana terlampau banyak berhenti, kami hampir terlepas
kapal. Jadi nasihat aku, pastikan kalian sampai 20 minit lebih awal dari waktu
berlepas.
Sesungguhnya pelayaran yang selama 2 jam itu adalah
pengalaman yang paling indah bagi aku di New Zealand. Dengan hanya NZD 40, aku
dapat menyaksikan pelbagai kehebatan ciptaan Tuhan yang tidak ternilai harganya
seperti air terjun yang menyamankan, puncak alpine yang dilitupi salju dan
anjing laut yang sedang beristiharat di atas bongkah batu. Di sanalah aku nampak anjing laut untuk pertama kali dalam hidup aku!
Setelah tamat pelayaran, kami bertolak ke Lake Wanaka. Dalam
perjalanan itu, kami singgah di Mirror Lake untuk makan tengahari dan di The
Chasm untuk berehat. Kami mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke Lake
Wanaka kerana kami banyak berhenti di ‘lookout point’ yang terdapat di
sepanjang perjalanan.
Tempat pertama yang kami singgah di Lake Wanaka ialah That
Wanaka Tree atau juga dikenali sebagai Lonely Tree. Kenapa pokok ini dipanggil
sebagai Lonely Tree? Kerana ia satu-satunya pokok di Lake Wanaka yang berada di
tengah-tengah tasik. Pokok yang paling terkenal di New Zealand ini dikatakan
sebenarnya adalah sebatang tiang pagar sekitar 70 tahun yang lalu.
Kemudian, aktiviti terkakhir disana ialah melompat di The
Wanaka Wharf. Tak wajib pun untuk melompat sebenarnya, tetapi kami masih muda.
=P
Hari 8: Lake Wanaka
> Arrowtown > Queenstown
Dari Lake Wanaka, kami bergerak ke satu pekan kecil iaitu
Arrowtown. Pekan ini dibina di tebing Sungai Arrow dan pernah menjadi tumpuan
pelombong-pelombong emas dari seluruh dunia pada satu ketika dahulu.
Kemudian kami menuju ke bandar Queenstown, yang terletak di
tepi Lake Wakatipu. Sepatutnya aktiviti pertama kami di sana adalah naik
gondola dan main luge di Skyline, tetapi disebabkan hujan, kami mengambil
keputusan untuk ke kedai cenderamata, DF Souvenirs. Berdasarkan bacaan aku di
internet serta pandangan pelancong-pelancong Malaysia yang lain, DF Souvenirs
dikatakan menawarkan harga yang antara termurah di New Zealand.
Setelah hampir 2 jam membeli-belah dan hujan juga telah reda,
kami bergerak ke Skyline untuk menaiki Gondola dan bermain Luge. Tiket yang
kami beli adalah berharga NZD 60 untuk gondola (pergi dan balik) dan juga untuk
bermain luge sebanyak 5 kali.
Hari 9: Queenstown > Auckland
Sebelum ke Lapangan Terbang Queenstown, kami mengikuti
Million Dollar Queenstown Cruise untuk menyusuri Lake Wakatipu. Tasik yang
ketiga terbesar di New Zealand ini dikatakan mempunyai air yang 99.9% tulen dan
meletakkan dirinya sebagai tasik yang kedua paling tulen di dunia.
Setelah memulangkan semula kereta sewa, kami menuju ke Lapangan
Terbang Queenstown untuk menaiki pesawat ke Auckland. Berbanding Lapangan
Terbang Auckland, proses daftar masuk di Lapangan Terbang Queenstown lebih
memakan masa kerana tiada mesin kiosk daftar masuk untuk Jetstar Airways.
Setibanya di Lapangan Terbang Auckland, kami menempah Uber
untuk ke pusat bandar Auckland. Kami bersiar-siar seketika di sana sebelum aku
menaiki bas untuk ke Lapangan Terbang Auckland semula kerana penerbangan pulang
aku adalah pada pukul 7 pagi keesokan harinya. Bas ke Lapangan Terbang Auckland
beroperasi 24 jam dan tiketnya berharga NZD 17.50 sekiranya dibeli di atas
talian (https://www.skybus.co.nz/buy-tickets). Kalau dibeli dari pemandu bas, harganya ialah NZD 19.
Hari 10: Auckland
> Kuala Lumpur
Dari Auckland aku menaiki Virgin Australia ke Bali dan dari
Bali aku menaiki Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur. Walaupun Virgin Austalia
juga merupakan satu syarikat penerbangan bajet jarak jauh seperti Air Asia X,
aku berpendapat servis yang diberikan jauh lebih baik berbanding Air Asia X.
Kerusinya lebih selesa, ruang kakinya lebih luas, malah tiket yang dibeli
adalah termasuk dengan bagasi sebanyak 23 kg dan makanan dalam pesawat sebanyak
dua kali.
**********
Alhamdulillah, perancangan kami hampir 90% berjaya diikuti seperti yang dirancangkan. Aku sebenarnya mengambil masa yang agak lama untuk susun jadual perjalanan kami kerana perlu pertimbangkan masa, bajet dan juga tiket penerbangan domestik yang telah dibeli lebih awal ketika ianya sedang murah. Untuk memudahkan kalian, aku bahagikan aktiviti-aktiviti aku di sana kepada 3 bahagian:
A. MESTI BUAT/SINGGAH
1. Waitomo Glowworm Cave Tour
2. Huka Falls
3. Lake Tekapo
4. Lake Pukaki
5. Nugget Point Lighthouse
6. Milford Sound Cruise
7. Skyline Gondola and Luge
B. LEBIH BAIK BUAT/SINGGAH SEKIRANYA ADA MASA
1. Christchurch Botanical Garden
2. New Brighton Pier
3. The Chasm
4. Oamaru Lookout Point
5. Bushy Beach Scenic Reserve
6. Signal Hill Lookout
7. That Wanaka Tree
A. MESTI BUAT/SINGGAH
1. Waitomo Glowworm Cave Tour
2. Huka Falls
3. Lake Tekapo
4. Lake Pukaki
5. Nugget Point Lighthouse
6. Milford Sound Cruise
7. Skyline Gondola and Luge
B. LEBIH BAIK BUAT/SINGGAH SEKIRANYA ADA MASA
1. Christchurch Botanical Garden
2. New Brighton Pier
3. The Chasm
4. Oamaru Lookout Point
5. Bushy Beach Scenic Reserve
6. Signal Hill Lookout
7. That Wanaka Tree
C. LEBIH BAIK GANTI DENGAN AKTIVITI LAIN
1. Moeraki Boulders
2. Katiki Point Lighthouse
3. Mirror Lake
4. Arrowtown
5. Queenstown Cruise
1. Moeraki Boulders
2. Katiki Point Lighthouse
3. Mirror Lake
4. Arrowtown
5. Queenstown Cruise
**********
Keywords:
1. 10 days road trip itinerary around New Zealand
2. Bercuti ke New Zealand
3. Cheap ticket for Milford Sound
4. Percutian di New Zealand
Tiada ulasan:
Catat Ulasan