ASSALAMUALAIKUM
Untuk penulisan kali ini, aku ingin berkongsi beberapa tips untuk ke New Zealand. Tak banyak tips yang ingin aku kongsikan, tetapi aku berharap ianya serba sedikit dapat memudahkan perjalanan kalian ke sana.
A) Tiket penerbangan
1. Untuk mencari tiket penerbangan yang murah, kalian boleh manfaatkan beberapa laman web yang ada di luar sana. Sebagai contoh, laman web yang selalu aku gunakan ialah: https://www.skyscanner.com.my/
2. Manfaatkan lapangan-lapangan terbang utama yang ada di sekeliling kita! Sebagai contoh, harga tiket termurah yang aku jumpai untuk ke Auckland dari Kuala Lumpur pada 2 Disember 2018 ialah RM1600 dengan AirAsia X. Tetapi apabila aku menukar lokasi berlepas ke Bali (tukar Kuala Lumpur menjadi Bali), harga tiket termurah yang aku berjaya jumpai ialah RM900! Tambah dengan tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bali, jumlah keseluruhannya ialah RM1050. Aku telah berjimat lebih daripada RM500!! Tetapi harus diingatkan untuk menjarakkan kedua-dua penerbangan tersebut sekurang-kurangnya 4 jam.
B) Sistem biosekuriti
1. New Zealand terkenal dengan sistem biosekuriti dan kastam yang amat ketat terutamanya di Lapangan Terbang Auckland.
2. Untuk membawa masuk makanan yang mengandungi daging seperti Brahim's Nasi Briyani Kambing ke New Zealand, kalian perlu pastikan makanan tersebut:
I. Stabil/tidak rosak meskipun tanpa peti sejuk
II. Tiada proses memasak selanjutnya diperlukan (kecuali proses pemanasan semula atau proses rehidrasi)
III. Jumlah berat tidak boleh melebihi 1 kg (Contoh, kalau berat sekotak Nasi Briyani Kambing ialah 250 gram, kalian hanya dibenarkan untuk membawa masuk sebanyak 4 kotak sahaja)
3. Makanan yang mengandungi madu atau telur tidak boleh dibawa masuk.
4. Makanan dalam pesawat tidak boleh dibawa masuk.
5. Untuk memudahkan dan melancarkan urusan kalian di kaunter pemeriksaan biosekuriti, disarankan untuk menyediakan senarai makanan-makanan yang ingin dibawa masuk beserta keterangan bahan-bahannya.
6. Berdasarkan pengalaman aku sendiri, proses di kaunter biosekuriti dan kastam mengambil masa kira-kira 1 jam (termasuk dengan tempoh beratur). Oleh itu, pastikan kalian susun jadual perjalanan betul-betul.
C. Transit di Australia
1. Walaupun visa tidak diperlukan untuk transit di Australia, kalian mungkin diminta untuk menunjukkan tiket pulang dari New Zealand di KLIA (berdasarkan pengalaman aku sendiri).
D. Pengangkutan
1. Kebanyakan tempat-tempat menarik dan cantik tidak berada di laluan bas ataupun kereta api. Oleh itu, menyewa kereta/caravan adalah kaedah pengangkutan yang terbaik.
2. Untuk mencari kereta sewa yang murah di New Zealand, kalian boleh gunakan laman web: https://www.vroomvroomvroom.co.nz/. Walau bagaimanapun, syarikat JUCY tidak disenaraikan dalam laman tersebut. Berdasarkan pengalaman aku, kos menyewa kereta dari JUCY adalah antara yang termurah di sana terutamanya jika kalian menyewa lebih daripada 5 hari.
3. Sekiranya kalian menyewa tanpa mengambil insurans penuh, kalian mungkin diminta untuk membayar deposit yang boleh mencecah NZD 2000.
4. Sesetengah syarikat kereta sewa seperti JUCY akan mengenakan caj tambahan sekiranya kalian ingin mengambil kereta selepas waktu kerja.
5. Manfaatkan Google Maps untuk mengetahui tempoh pemanduan dari Destinasi A ke Destinasi B. Namun, dinasihatkan untuk meletakkan tambahan masa sekurang-kurangnya 30 minit terutamanya apabila kalian menggunakan caravan.
6. Sepanjang perjalanan kalian akan disajikan dengan pemandangan indah yang kalian tidak akan ingin ketinggalan untuk berhenti dan mengambil gambar. Oleh kerana itulah, masa tambahan adalah penting apabila kalian menyusun jadual perjalanan. Sebagai contoh, berdasarkan Google Maps, tempoh pemanduan dari Te Anau ke Milford Sound mengambil masa selama 1 jam 45 minit, tetapi hari itu kami telah mengambil masa hampir 2 jam setengah untuk sampai ke destinasi kerana banyak berhenti untuk mengambil gambar.
7. Harga petrol di sana berbeza dari tempat ke tempat. Biasanya harga petrol di kawasan luar bandar lebih mahal daripada di bandar.
8. Sebelum memulangkan semula kereta yang disewa, kalian diwajibkan untuk mengisi minyak kereta sehingga penuh. Dinasihatkan untuk tidak mengisi minyak di stesen minyak berhampiran lapangan terbang kerana harganya lebih mahal.
E. Tiket masuk / tiket pelayaran
1. Aktiviti-aktiviti di New Zealand kebanyakannya mahal! Sebagai contoh, harga untuk bermain bungy jump di Queenstown ialah NZD 205 (hampir RM600!!). Oleh itu, untuk mengurangkan rasa bebanan kewangan, dinasihatkan untuk merancang awal jadual perjalanan kalian dan membeli tiket-tiket tersebut secara berasingan. Sebagai contoh; kalian ingin bercuti pada bulan Disember. Kalian perlu menyiapkan jadual perjalanan kalian pada bulan Jun. Jadi, pada bulan Julai kalian beli dua tiket, pada bulan Ogos kalian beli dua tiket yang lain pula, dan bergitulah seterusnya.
2. Berdasarkan pengalaman aku, https://www.backpackerdeals.com/ menawarkan harga tiket yang lebih murah berbanding yang lain.
F. Komunikasi
1. Syarikat-syarikat telco di New Zealand suka menggunakan ayat "covers 98.5% of places where Kiwi works and lives". Jangan salah paham, ini bukan bermakna 98.8% New Zealand mempunyai liputan telekomunikasi kerana hanya 50% New Zealand yang mempunyai penghuni.
2. Sistem navigasi amat diperlukan sekiranya kalian memilih untuk memandu sendiri di New Zealand dan jika ingin ingin menyertakan (to include) sistem navigasi ke dalam pakej sewa kereta kalian, kalian perlu membayar wang tambahan. Jadi, cara yang paling kos efektif adalah dengan menggunakan aplikasi navigasi seperti Google Maps di telefon pintar kalian.
3. Sekiranya kalian memilih untuk menggunakan aplikasi Google Maps sebagai sistem navigasi, dinasihatkan untuk memuat turun peta terlebih dahulu supaya kalian dapat menggunakannya walaupun secara offline. (Rujuk: https://support.google.com/maps/answer/6291838?co=GENIE.Platform%3DiOS&hl=en)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan