ASSALAMUALAIKUM
Medan yang
merupakan ibu kota Provinsi Sumatera Barat adalah bandar yang ke-tiga terbesar
di Indonesia. Dengan pengaruh penjajah dan juga tradisi tempatan, Medan
merupakan destinasi makanan yang terkenal untuk para pelancong dari seluruh
dunia. Selain itu, kawasan-kawasan berdekatan Medan juga menawarkan keajaiban
semulajadi yang menakjubkan seperti Lake Toba, iaitu tasik terbesar di Asia
Tenggara dan salah satu tasik terdalam di dunia.
Dengan
kedudukan Medan yang dekat dengan Pulau Pinang, ditambah pula dengan kemudahan
penerbangan terus dari Pulau Pinang oleh AirAsia, aku sememangnya sudah lama
menyimpan hajat untuk ke Medan. Oleh kerana itulah, apabila kawan aku mengajak
aku untuk bercuti ke Medan bersama dengan kawan-kawannya yang aku tak pernah
kenal, aku telah bersetuju untuk ikut tanpa berfikir panjang.
Proses
perancangan percutian kami bermula dengan mencari pakej pelancongan yang murah
dan boleh dipercayai. Walau bagaimanapun, pakej-pakej pelancongan yang
ditawarkan kepada kami kebanyakannya bersifat santai. Oleh itu, kami
menyusun sendiri jadual perjalanan (itinerary) agar lebih mencabar dan sesuai
dengan kami yang kesemuanya lelaki. Kemudian barulah kami mencari supir
yang boleh membawa kami ke semua tempat yang kami pilih dengan harga yang berpatutan.
Hari
1: Pulau Pinang > Medan
Kami
berlapan bertolak ke Medan dari Pulau Pinang pada malam 30 April 2019 dengan
menaiki pesawat AirAsia. Ketibaan kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Namu disambut oleh Pak Ismail iaitu supir yang telah kami upah.
Oleh kerana
ketibaan kami di Medan sudah agak lewat, tiada sebarang aktiviti yang dapat
dilakukan pada hari pertama. Pada asalnya, penginapan untuk malam pertama
termasuk dalam pakej, tetapi kami memilih untuk menginap di hotel pilihan
kami sendiri bagi menjimatkan kos. Hotel yang kami pilih ialah The Lively
Hotel yang terletak kira-kira 15 minit dari lapangan terbang.
Hari
2: Medan > Pulau Samosir
Seawal jam 6
pagi, kami sudah bersiap untuk berangkat ke Pulau Samosir (Samosir Island) yang
merupakan sebuah pulau gunung berapi di Lake Toba. Kami terpaksa berangkat awal
pagi untuk mengejar feri jam 11:30 tengahari dari Pelabuhan Tiga Ras ke Pulau
Samosir. Sekiranya kami terlepas feri tersebut, jadual perjalanan kami akan
terganggu kerana feri seterusnya adalah pada pukul 2:30 petang. Di pertengahan
perjalanan ke pelabuhan, kami singgah sebentar di kedai menjual kacang tumbuk
iaitu Toko Paten.
Setelah
makan tengahari di Pulau Samosir, kami bertolak ke Menara Pandang Tele yang
terletak di tanah besar. Untuk sampai ke menara tinjau ini, tidak perlu naik
feri kerana di sebelah timur Pulau Samosir terdapat jambatan yang menghubungkan
tanah besar dan Pulau Samosir. Dari menara tinjau ini, para pengunjung dapat
menikmati pemandangan indah Lake Toba yang terbentang luas di hadapan dan juga
dapat melihat Gunung Pusuk Buhit yang terdapat di sebelah kiri.
Dari
Menara Pandang Tele, kami bertolak ke Air Terjun Efrata. Walaupun airnya tidak
sejernih air terjun yang lain di Sumatera Utara, Air Terjun Efrata masih
menawarkan pemandangan yang cukup menakjubkan. Di sini, para pengunjung dapat
bergambar secara dekat dengan air terjun.
Kemudian,
kami meneruskan perjalanan ke Bukit Holbung yang juga dikenali sebagai Bukit
Teletubbies kerana persamaannya dengan landskap dalam siri TV kanak-kanak
popular. Untuk sampai ke puncak bukit, kami menggunakan tangga yang disediakan.
Walaupun agak memenatkan untuk sampai ke puncak, penat dan lelah kami terubat
apabila melihat pemandangan yang cukup indah dari puncak bukit tersebut. Tidak
melampau sekiranya aku katakan yang permandangan di sini sama cantik dan sama
indah seperti pemandangan yang aku lihat di New Zealand!
Akhir
sekali kami singgah sebentar di perkampungan kaum batak iaitu Batu Kursi Raja
Siallagan.
Hari 3: Pulau Samosir > Berastagi
Dari
Pulau Samosir, kami menyeberangi Lake Toba dengan menggunakan perkhidmatan feri
untuk ke Berastagi iaitu sebuah pekan kecil yang terkenal dengan perladangannya
dan pelbagai jenis bunga, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Dalam
perjalanan ke Berastagi, kami singgah di Bukit Simarjarunjung. Di sini
disediakan beberapa ‘alat permainan’ seperti Basikal Udara, Sarang Burung dll untuk para pengunjung bermain sambil
menangkap gambar berlatar belakangkan Lake Toba.
Setelah
puas bermain di Bukit Simarjarunjung, kami bertolak ke lokasi untuk melihat Air
Terjun Sipiso-piso yang merupakan salah satu air terjun tertinggi di Indonesia
dengan ketinggiannya mencapai 120 meter. Untuk melihat Air Terjun Sipiso-piso
secara dekat, para pengunjung perlu turun ke bawah menggunakan laluan yang disediakan.
Walau bagaimanapun, oleh kerana kesuntukan masa, kami hanya melihat air terjun
tersebut dari jauh.
Kemudian,
kami bergerak ke Taman Bunga Sapo Juma. Tetapi malangnya taman bunga tersebut
tutup pada hari yang kami pergi. Dari sana kami terus bergerak ke Bukit
Gundaling. Bukit yang mempunyai ketinggian 1575 meter dari paras laut ini
menyajikan pemandangan indah dua gunung berapi yang masih aktif iaitu Gunung
Sibayak dan Gunung Sinabung.
Seterusnya
kami bertolak ke Pasar Buah Berastagi. Di sana terdapat pelbagai buah-buahan
yang segar dengan harga yang amat murah.
Hari 4: Berastagi > Kolam Abadi > Medan
Perjalanan
kami pada hari ke-empat bermula seawal empat pagi. Dengan menggunakan
perkhidmatan renjer tempatan, kami mendaki Gunung Sibayak untuk melihat
matahari terbit dari puncak. Selepas hampir 1 jam mendaki, kami mula mencium
bau belerang yang sangat kuat, yang merupakan bau seperti telur busuk. Mendaki
lebih tinggi, kami dapat melihat satu kawah besar di mana terdapat terdapat
beberapa bukaan (lubang) di sekelilingnya. Dari lubang tersebut, keluarnya wap
panas yang amat kuat sehingga membentuk awan-awan kecil. Dari situ kami
meneruskan pedakian ke puncak tetapi malangnya kami tidak dapat melihat
matahari terbit kerana ia terlindung oleh awan-awan tebal.
Setelah
puas bergambar di puncak gunung, kami mula turun dan pulang ke hotel untuk
bersarapan. Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Kolam Abadi yang terletak
kira-kira lebih 50 km dari pekan Berastagi. Setelah sampai ke pintu masuk
utama, kami diberikan jaket keselamatan sebelum berjalan kaki selama kira-kira
lebih 30 minit melalui laluan yang agak licin dan curam untuk ke Kolam Abadi.
Namun segala kepayahan dan keletihan kami terubat apabila melihat air sungainya
yang bergitu jernih! Di sini kami melakukan aktiviti 'body rafting' di mana
kami mengapungkan badan dan membiarkan badan kami dibawa oleh arus sungai.
Jujur aku katakan yang aktiviti ini adalah yang paling menyeronokkan selama
kami di Medan. Maaf, tiada gambar yang aku boleh masukkan kerana semuanya dalam bentuk video. Tetapi, kalian boleh 'google' sahaja untuk melihat gambar-gambar pelancong lain.
Kami
menghabiskan masa lebih 5 jam di Kolam Abadi sebelum meneruskan perjalanan kami
ke Medan. Di sebelah malam, kami melakukan aktiviti bebas iaitu memburu makanan
(food hunting).
Hari 5: Medan > Pulau Pinang
Pada
hari terakhir, kami memulakan perjalanan kami agak lewat sedikit kerana terlalu
penat dengan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan stamina pada hari
ke-empat. Dari hotel, kami terus bergerak ke Medan Mall untuk membeli-belah
kain batik dan baju batik. Terdapat pelbagai pilihan kain batik di sana dengan
harga semurah 40 000 rupiah semeter.
Kira-kira
pukul 3 petang, kami mula bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu
untuk menaiki pesawat pulang ke Pulau Pinang.
**********
Percutian
aku ke Medan ini sejujurnya melampaui jangkaan kerana aku tidak menjangkakan
Medan terutamanya kawasan di sekitarnya mempunyai banyak tempat yang cantik dan
menarik.
*********
Jumlah
kos percutian aku ke Medan:
1.
Tiket penerbangan (pergi-balik): RM138
2.
Pakej perlancongan: RM510 seorang untuk 8 orang
*
Semakin ramai, semakin murah
*
Pakej lengkap termasuk makanan dan penginapan
3.
Pengangkutan dari lapangan terbang ke hotel pada malam pertama: RM50 untuk satu
van
4.
Hotel pada malam pertama: RM25 seorang
JUMLAH:
RM679.25
(tidak
termasuk perbelanjaan peribadi dan juga saguhati untuk supir)
Askm..nak tanya...pakej tu dari Medan ke dr sini yea...
BalasPadamHarga pakej tu bermula dari airport medan.
PadamFlight saya beli sendiri.