catatan hati seorang perantau hakiki

ASSALAMUALAIKUM

pas pelancong Singapura

Hujung minggu lalu, aku ke Singapura selama dua hari satu malam. Satu keputusan yang agak tergesa-gesa tanpa berfikir panjang, tetapi aku sememangnya memerlukan masa untuk bersendirian. 

Aku bertolak dari Penang pada malam 9 Ogos 2019 dengan menaiki pesawat Jetstar. Setibanya aku di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi, aku mencari ruang istirahat untuk aku melelapkan mata sebelum meneroka Singapura. Namun, sebelum sempat aku tidur, aku telah diarahkan oleh seorang pegawai keselamatan untuk segera ke kaunter imigresen untuk proses daftar masuk negara. Nampaknya, ruang istirahat tersebut hanya boleh digunakan oleh para penumpang yang sedang menunggu sebelum menaiki pesawat.

DAY 1

Seawal 7 pagi, beberapa restoran sudah mula beroperasi. Aku memilih untuk bersarapan di restoran A&W yang berada di Jewel. 

Jewel

Seusai bersarapan, aku bersiar-siar sebentar di dalam Jewel. Terdapat beberapa tarikan di sana seperti Shiseido Forest Valley iaitu salah satu taman bunga tertutup (indoor) terbesar di Asia dan The Rain Vortex iaitu air terjun tertutup (indoor) terbesar dan tertinggi dunia. 

Kemudian, aku ke Stesen MRT Lapangan Terbang Changi untuk ke hostel yang telah aku tempah iaitu Lodge 41 di Geylang. Oleh kerana aku tiba di hostel sebelum waktu daftar masuk, jadi aku meminta izin untuk meninggalkan bagasi aku di sana sebelum meneruskan perjalanan ke Chinatown.

By the way, perkhidmatan kereta api dan bas di Singapura boleh dibayar samada dengan menggunakan wang tunai, kad pra-bayar, kad debit ataupun kad kredit. Sebagai pelancong, sememangnya Pas Pelancong Singapura (Singapore Tourist Pass) adalah yang paling berbaloi kerana kesemua kereta api dan bas boleh digunakan tanpa had untuk tempoh yang kita beli. Pas ini boleh didapati di stesen-stesen kereta api terpilih seperti Stesen MRT Lapangan Terbang Changi. Selain Singapore Tourist Pass ini, terdapat beberapa lagi jenis pas pelancong yang boleh dibeli. Untuk maklumat lanjut, anda boleh semak di laman web ini (klik).

Persinggahan pertama aku di Chinatown adalah Tongue Tip Lanzhou Beef Noodles Restaurant untuk makan tengahari. Restoran ini mempunyai 3 cawangan di Singapura dan 2 daripadanya telah disahkan Halal oleh Majlis Agama Islam Singapura, manakala cawangan Chinatown masih belum menerima sijil halal. Tetapi usah bimbang, cawangan Chinatown menggunakan bahan-bahan yang sama seperti 2 cawangan yang lain.

Kemudian, aku singgah di Masjid Jamae untuk solat jamak zohor dan asar. Selesai bersolat, aku ke NUS Baba House iaitu sebuah rumah yang pernah didiami oleh keluarga Cina. Dibina pada sekitar tahun 1895, rumah ini diperolehi oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) pada tahun 2006 daripada dana yang disumbangkan oleh Cik Agnes Tan. Tiket diperlukan untuk melawat Baba House ini dah ianya boleh dibeli di laman web (klik) dengan harga SGD 10.


Aku menghabiskan masa hampir 1 jam di Baba House sebelum menaiki bas dan MRT untuk ke Garden by the Bay iaitu salah satu destinasi pelancongan ikonik Singapura. Aku beli tiket masuk ke Garden by the Bay melalui Klook dengan harga RM65, iaitu kira-kira RM16 lebih murah daripada membeli di laman web rasminya. Tiket ini memberikan aku akses penuh ke dua konservatori iaitu Flower Dome dan Cloud Forest. Sedikit fakta mengenai Flower Dome, ia merupakan sebuah  kaca rumah kaca terbesar di dunia seperti yang disenaraikan dalam Rekod Dunia Guinness 2015!


By the way, stesen MRT yang terdekat dengan Garden by the Bay ialah Stesen Bayfront dan dari stesen tersebut, anda perlu berjalan kira-kira 10 minit untuk ke pintu masuk Flower Dome ataupun Cloud Forest. Walau bagaimanapun, terdapat perkhidmatan shuttle yang anda boleh gunakan tanpa had dengan harga SGD 3.

Dan jangan terlepas untuk menyaksikan pertunjukan cahaya dan bunyi Garden Rhapsody pada pukul 7.45 malam dan 8.45 malam di Supertree Grove. 


Selepas itu, aku bergerak ke Event Plaza di Marina Bay Sands untuk menyaksikan pertunjukan percuma cahaya dan air, Spectra yang bermula pada pukul 9 malam untuk selama 15 minit. Selain 9 malam, pertunjukan itu juga diadakan pada pukul 8 malam dan pada hari-hari tertentu juga diadakan pada pukul 10 malam.

Tamat pertunjukan Spectra, aku menaiki MRT untuk makan malam di sekitar Sultan Mosque sebelum pulang ke hostel. Di sana terdapat beberapa pilihan restoran yang berstatus Halal. Antara yang menjadi pilihan utama pelancong ialah restoran Singapore Zam Zam.


DAY 2

Setelah bersarapan pagi di hostel, aku ke Little India dengan menaiki bas. Aku tiba di Stesen Little India sebelum berjalan kaki ke House of Tan Teng Niah. Di bina sekitar tahun 1900, bangunan ini merupakan salah satu vila Cina yang masih kekal di Little India.


Aku berjalan-jalan di sekitar Little India untuk beberapa seketika sebelum mengambil bas ke The Halia untuk makan tengahari. Restoran ini terletak di dalam Kebun Halia di Taman Botani Singapura.

Kerana kekangan masa, aku tidak berpeluang untuk meneroka Taman Botani Singapura. Sebaliknya aku terus bergerak ke stesen MRT terdekat untuk ke Lapangan Terbang Changi. Setibanya di Stesen MRT Changi Airport, aku ke Pejabat Tiket Transitlink di Terminal 2 untuk memulangkan semula pas pelancong aku.

Aku berangkat pulang ke Penang pada pukul 7:15 malam dengan pesawat Jetstar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan